Gejala sosial

Illustrasi : Afa Nil

Artikel : Meo188 & Sazzy Ida

1.0 PENGENALAN

Gejala sosial bermaksud tanda-tanda, alamat atau petanda tentang segala yang berkaitan dengan masyarakat, perihal masyarakat, kemasyarakatan atau hal yang berkaitan dengan persahabatan, pergaulan dan aktiviti masa lapang. (http://prpm.dbp.gov.my)

Sayed A. Rahman (1996) menyifatkan gejala sosial ialah perlakuan yang merangkumi berbagai-bagai tingkah laku negatif masyarakat yang tidak membawa sokongan dan keuntungan kepada kekuatan sistem dan struktur ekonomi yang diamalkan oleh sesebuah masyarakat dan negara. Hamzah (2002) berkata gejala sosial dilihat sebagai satu perlakuan manusia yang terkeluar dari batas-batas normal dan diterima umum, baik dari aspek agama, sosial serta budaya kehidupan masyarakat. Manakala Mohammad Shatar (2003) menyatakan perlakuan yang berbagai-bagai ini dianggap sebagai gejala atau masalah sosial sekiranya perkara yang berlaku itu telah menyalahi nilai dan norma kehidupan masyarakat.

Secara umumnya, gejala sosial merangkumi berbagai perlakuan negatif yang tidak mendatangkan keuntungan kepada sesebuah negara. Ia dilihat boleh mendatangkan kesan negatif kepada struktur ekonomi dan boleh melemahkan sistem pentadbiran sesebuah negara. Gejala- gejala sosial ini biasanya melibatkan semua kategori lapisan masyarakat yang terdiri daripada kanak-kanak, remaja-remaja, orang kurang upaya dan orang dewasa.

Sejak akhir-akhir ini, sering kita dengar berbagai gejala sosial telah melanda masyarakat kita. Pelbagai aktiviti-aktiviti atau masalah sosial yang dilakukan oleh remaja mahupun orang dewasa di sekeliling kita.

Dewasa ini, masalah disiplin di kalangan pelajar sekolah sering diperkatakan dan mendapat perhatian daripada segenap lapisan masyarakat oleh kerana golongan remaja dan pelajar sekolah merupakan bakal pewaris negara. Pada mulanya, masalah disiplin di kalangan pelajar sekolah hanyalah melibatkan seperti merosakkan harta benda awam, merokok, melepak, ponteng sekolah dan seumpamanya. Namun, sejak akhir-akhir ini mereka semakin berani melakukan pelbagai kegiatan atau perbuatan yang melanggar atau bercanggah dengan norma-norma masyarakat dan undang-undang negara.

Pada peringkat umur ini, pelajar-pelajar mahupun remaja-remaja mengalami perubahan yang mendadak dari segi bentuk fizikal, emosi serta sosial mereka. Sifat ingin tahu yang ada dalam diri mereka membuatkan mereka ingin mencuba sesuatu dan ingin mencapai keseronokan serta kepuasan dalam diri mereka.

2.0 PUNCA-PUNCA GEJALA SOSIAL

Beberapa punca dikesan boleh mendatangkan masalah-masalah disiplin atau gejala sosial di kalangan masyarakat.  Zeenath (2005) telah menyenaraikan 24 sebab berlakunya gejala sosial dalam masyarakat Malaysia yang diperoleh setelah dilakukan kajian ke atas ketua-ketua wanita dalam pertubuhan politik tempatan. Antara punca-puncanya ialah:

  • Meminggirkan tradisi, nilai dan moral atas nama kemodenan.
  • Kemahiran keibubapaan yang lemah.
  • Ibu bapa tidak memberi masa yang berkualiti dengan anak-anak.
  • Ibu bapa menyerahkan tanggungjawab mendidik anak-anak kepada pembantu rumah.
  • Komunikasi ibu bapa dan anak yang lemah.
  • Kurang seliaan dan asuhan disiplin diri dalam diri anak-anak.
  • Rasa sunyi dan hilang kasih sayang semasa membesarkan anak-anak.
  • Capaian yang mudah pada bahan lucah.
  • Salah guna teknologi (internet).
  • Kurang memahami Islam dan iman yang lemah.
  • Kurang pendidikan seks.
  • Tekanan sosial ke atas remaja perempuan untuk berkahwin awal.
  • Lemah integriti moral.
  • Kesedaran gender yang lemah dalam masyarakat.
  • Tekanan dari agama terhadap wanita berkenaan isu seks.
  • Kaedah penceraian dalam Islam.
  • Lebih daripada lima orang sekeluarga tinggal di rumah sempit.
  • Bosan semasa membesarkan anak.
  • Reaksi keterlaluan terhadap didikan agama.
  • Mudah marah dan tidak merasa kehadiran Allah SWT dalam hati.
  • Bajet untuk JKM yang sedikit.
  • Ibu bapa dan guru gagal memahami jiwa remaja.
  • Tekanan rakan sebaya dan budaya negatif di luar rumah.
  • Ibu bapa dan guru tidak mesra kepada remaja.

Antara faktor-faktor yang menyumbang kepada  wujudnya gejala sosial di kalangan masyarakat adalah:

2.1 Institusi Keluarga

Keluarga merupakan institusi yang paling asas dalam membentuk keperibadian anak-anak. Dari proses kehamilan lagi ibu bapa perlu memainkan peranan penting dalam mendidik anak-anak supaya menjadi insan yang berguna. Ibu bapa perlu menjadi ‘role model’ sekaligus sebagai perangsang dan sebagai pendorong kepada kewujudan suasana harmonis. Gaya keibubapaan yang baik akan memberikan teladan dan ikutan kepada anak-anak.

Namun berapa ramaikah di antara kita yang mempunyai kemahiran keibubapaan ini? Adakah kita mempraktikkan gaya keibubapaan ini kepada anak-anak? Perkara beginilah yang sering dilihat sebagai penyumbang kepada masalah sosial di kalangan remaja masa kini. Ibu bapa terlalu mengejar wang sehingga mengabaikan tanggungjawab terhadap anak-anak. Anak-anak terasa diabaikan oleh sikap ibu bapa mereka yang sering pulang lewat dan tidak memberikan perhatian kepada mereka.

Salah satu aspek yang kurang diberikan perhatian oleh ibu bapa adalah meluangkan masa bersama keluarga. Remaja terpaksa mencari jalan sendiri dalam menghadapi perkembangan remaja tanpa bimbingan yang sepatutnya oleh kerana kesibukan ibu bapa mengejar harta duniawi.

Masalah ekonomi keluarga juga boleh menyumbang kepada terjadinya gejala sosial. Keluarga yang miskin kurang mampu memberikan atau menyediakan pendidikan yang sempurna kepada anak-anak, makan dan minum, tempat kediaman yang selesa serta kemudahan-kemudahan lain dan sistem kesihatan yang sempurna. Ini boleh mendorong remaja untuk mencuri bagi memenuhi keperluan mereka dan seterusnya berjinak-jinak dengan aktiviti-aktiviti sosial lain yang lebih serius seperti mengedar dadah dan melacurkan diri untuk mengecapi kemewahan atau untuk menanggung perbelanjaan pengajian mereka.

2.2 Pihak Sekolah

Disamping mengajar, guru juga adalah ‘role model’ yang utama kepada pelajar-pelajar. Guru-guru perlu memainkan peranan yang baik dalam membentuk sahsiah diri pelajar-pelajar. Konflik jiwa, pemberontakan batin dan rasa tidak puas hati pelajar terhadap undang-undang dan dasar pendidikan menyebabkan mereka melakukan perkara-perkara diluar dugaan dan jangkaan.

Sesetengah guru bersikap tidak adil kepada pelajar-pelajar, memilih kasih dan sebagainya menyebabkan pelajar-pelajar rasa disisih dan merendah diri.

2.3 Media Massa / Internet

Media massa dan internet sangat berpengaruh pada zaman ini. Paparan adegan-adegan ganas, seram, lucah dan sebagainya boleh mempengaruhi minda remaja. Media massa merupakan sumber maklumat yang cukup berkesan dalam penyebaran berbagai informasi. Melalui media massa, golongan remaja terdedah kepada paparan adegan-adegan negatif dari filem barat dan boleh menimbulkan perasaan ingin tahu dan ingin cuba sendiri mengikut apa yang ditonton.

Internet juga boleh menyumbang kepada berlakunya gejala sosial. Di zaman teknologi informasi dan komunikasi (ICT) yang serba canggih, remaja mudah mengakses atau terdedah dengan maklumat-maklumat atau perkara-perkara negatif.

2.4 Rakan sebaya

Peranan rakan sebaya turut menyumbang kepada terjadinya gejala sosial. Pelajar-pelajar yang tercicir dalam pelajaran dan yang mengalami masalah keluarga mudah terikut dengan rakan-rakan yang tidak tentu hala akibat tidak berfikir dengan waras dan cuba memberontak. Mereka mudah mempercayai orang dan mudah terikut dengan rakan-rakan. Umpamanya, jika mereka merasakan rakan-rakan mereka lebih rapat dan lebih memahami, dengan mudah mereka akan mengikut apa yang dilakukan oleh rakan-rakan. Mereka lupa bahawa, “kawan juga kadangkala boleh makan kawan”. Dalam keadaan ini ramai para remaja terjerumus ke dalam gejala sosial.

Punca mereka senang terjerumus ke dalam masalah gejala sosial ialah kerana mereka akan lebih berminat untuk mencuba atau mahu menunjuk-nunjuk apabila berada bersama-sama dengan kawan-kawan. Remaja memang suka meniru dan mengikut gaya supaya diterima dalam kumpulan.

2.5 Perasaan Ingin Tahu Dan Ingin Mencuba

Pada peringkat usia ini, remaja mempunyai perasaan ingin tahu dan ingin mencuba yang tinggi. Apa-apa yang terjadi di sekeliling mereka akan mengundangkan perasaan ingin tahu dan ingin mencuba di kalangan remaja. Ini boleh mendorong mereka mencuba dan melakukan perkara-perkara negatif tersebut.

3.0 JENIS-JENIS GEJALA SOSIAL

Amaludin dan Khadijah (2006) menyenaraikan 24 jenis gejala sosial yang melibatkan penghuni pusat pemulihan akhlak lelaki dan perempuan di seluruh negara. Gejala sosial yang dikenal pasti ialah merokok, menonton video lucah, putus cinta, mencuri, lari dari rumah, minum arak, tonton filem lucah, pil khayal, berjudi, simpan gambar lucah, hubungan jenis luar nikah, peras ugut, pecah rumah, hisap dadah, rogol, samun, rasuah, maksiat, bercerai dan jenayah bunuh.

Selain daripada gejala sosial di atas, penghuni lelaki turut terlibat dalam seks rambang, bohjan dan homoseksual manakala penghuni perempuan terlibat dalam bohsia, lesbian, pelacur, gugur anak dan buang anak. Selain daripada berpuluh-puluh gejala sosial yang sentiasa berlaku dalam masyarakat, terdapat beberapa gejala sosial yang sering menjadi perhatian dan mencetuskan kebimbangan dalam kesejahteraan hidup.

Cuma 4 isu gejala sosial yang diketengahkan dalam entri ini. Antara isu yang hangat diperkatakan kini adalah isu pembuangan bayi, jenayah rogol, remaja lari rumah dan penagihan dadah.

3.1 Pembuangan Bayi

Pembuangan bayi adalah jalan keluar bagi remaja yang mengandung luar nikah bagi menutup malu atau aib diri sendiri dan keluarga. Sejak kebelakangan ini, sering kali kita mendengar kes pembuangan bayi melalui berita-berita dan surat khabar. Kebanyakan kes pembuangan bayi melibatkan remaja-remaja di kalangan masyarakat. Oleh kerana kurangnya didikan agama, mereka sanggup membuang bayi yang tidak berdosa dalam keadaan yang menyayatkan hati.

Menurut statistik yang dikeluar oleh Polis DiRaja Malaysia  pembuangan bayi antara tahun 2000 sehingga 2006 adalah sebanyak 580 orang bayi. Manakala, statistik yang dikeluarkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia pada tahun 2009 telah menunjukkan peningkatan kes pembuang bayi di Malaysia. Pada tahun  2006, jumlah kes adalah 53. Pada tahun 2007, jumlah kes buang bayi telah meningkat  kepada 76 kes dan pada tahun meningkat lagi kepada 102 kes.

Statistik pembuangan bayi tahun 2006 hingga 2008

Tahun 2006 2007 2008
Jumlah 53 76 102

Sumber: Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia, 2009

3.2 Jenayah Rogol

Jenayah rogol bukan sahaja memberikan masalah kepada kaum wanita, keluarga atau masyarakat sahaja malah menjadi masalah negara. Majoriti mangsa keganasan seks adalah wanita dan kanak-kanak perempuan. Jenayah rogol amat menakutkan. Ia menjadi musuh kepada kumpulan wanita khususnya kanak-kanak yang mudah menjadi sasaran penjenayah. Kajian-kajian juga mendapati pakaian wanita yang seksi bukan menjadi punca utama berlakunya kes-kes rogol sebaliknya lelaki yang mempunyai dorongan seks (libido) yang besar. Faktor-faktor lain ialah kedudukan ekonomi (tidak mampu berkahwin), tahap pendidikan dan kemahiran kerja yang rendah.

Menurut statistik yang dikeluarkan oleh Polis DiRaja Malaysia (PDRM), pada tahun  2006, jumlah kes jenayah rogol adalah 2431. Pada tahun 2007, jumlah kes jenayah rogol telah meningkat  kepada 3098 kes dan pada tahun meningkat lagi kepada 3414 kes. Peningkatan ketara ini amat membimbangkan.

Statistik jenayah rogol tahun 2006 hingga 2008

Negeri Tahun
2006 2007 2008
Perlis 28 27 40
Kedah 221 313 313
Pulau Pinang 115 161 177
Perak 183 226 234
Selangor 421 562 640
Kuala Lumpur 142 221 184
Negeri Sembilan 103 153 194
Melaka 125 139 130
Johor 343 473 534
Pahang 143 194 206
Terengganu 127 130 136
Kelantan 152 167 246
Sabah 199 196 231
Sarawak 129 136 149
Jumlah 2431 3098 3414

Sumber: Polis DiRaja Malaysia (PDRM), 2009


3.3 Remaja Lari Rumah

Ketika proses pembangunan yang semakin pesat dan dunia yang merentasi sempadan, golongan muda pada hari ini menerima pelbagai jenis maklumat yang menerobos budaya, akal fikiran dan pembentukan fizikal mereka. Pendedahan yang berterusan ini telah mencetuskan budaya yang tidak sihat seperti pergaulan bebas, jaringan rakan yang lebih meluas dan hidup mewah. Pengaruh ini memberi kesan kepada pembentukan jati diri mereka dan tidak akan mampu untuk menghadapi cabaran yang sedia ada. Justeru apabila berhadapan dengan konflik diri dan keluarga, ada dalam kalangan mereka yang terlalu kecewa dan mencari penyelesaian secara tergesa-gesa dan menyusahkan diri sendiri. Masalah-masalah ini akan menjadi lebih buruk apabila mendapat tentangan daripada ibu bapa. Mereka yang tidak tahan dengan tekanan akan mengambil tindakan untuk lari dari rumah atau tinggal bersama kawan-kawan yang sealiran dengan mereka. Kes lari dari rumah sedang berada pada tahap yang membimbangkan kerana liputan media massa mengenai kes ini sentiasa berlegar-legar dalam masyarakat.

Sejak tahun 2003, PDRM melaporkan sebanyak 16,020 orang merupakan remaja bawah berumur 17 tahun lari dari rumah. Daripada jumlah tersebut  9,415 orang telah dijumpai semula. Kaum Melayu paling ramai terlibat iaitu sebanyak 10,489 kes berbanding dengan bangsa lain.

3.4 Penagihan Dadah

Penagih dadah terdiri daripada pelbagai latar belakang. Pengaruh yang kuat ialah rakan sebaya yang dilihat menjadi faktor penarik seseorang terpengaruh dengan penagihan dadah. Berjinak-jinak dengan rokok, ingin merasai nikmat ‘stim’ dan mencari kepuasan adalah antara ruang-ruang yang menjurus kepada penagihan dadah yang juga dikira sebagai kes baru. Bagi kes berulang, tidak ada daya tahan yang kuat, menyendiri dan kerap menerima tohmahan menjadikan mereka kembali menagih.

Menurut statistik yang dikeluarkan oleh Agensi Antidadah kebangsaan, jumlah penagih dadah bagi tempoh 1988 hingga 2005 adalah terkumpul bertambah dari 289,763 pada tahun 2005  kepada 292,696 orang sehingga Mac 2006. Peningkatan tersebut adalah sebanyak 1.32% berbanding tempoh yang sama pada tahun 2005.

Majoriti daripada penagih dadah pada 2005 adalah terdiri daripada etnik Melayu (65.9%). Etnik Cina yang terlibat dengan penyalahgunaan dadah adalah 18.4% dan etnik India adalah sebanyak 10.1%. Bumiputera Sabah dan Sarawak yang terlibat dalam penyalahgunaan dadah adalah 4.0% dan lain-lain 1.6%.

4.0 CARA MENGATASI MASALAH

Setiap individu dan masyarakat perlu mencari jalan penyelesaian bagi membendung penularan wabak gejala sosial ini bagi menjaga keamanan negara. Jika tidak dibendung, masalah ini tidak akan selesai dan tiada penghujungnya. Ini akan merugikan ekonomi dan pentadbiran negara. Terdapat beberapa cara untuk mengatasi gejala sosial. Berikut adalah beberapa saranan:

4.1 Peranan Ibu Bapa

Peranan ibu bapa adalah amat penting dalam memberikan perhatian yang serius terhadap anak-anak mereka. Ibu bapa mestilah memerhatikan setiap gerak-geri anak-anak mereka. Ibu bapa seharusnya meluangkan lebih banyak masa bersama anak-anak dan hendaklah sentiasa mengetahui dan mengenal pasti masalah yang dihadapi oleh anak-anak mereka serta cuba membantu menyelesaikan masalah tersebut supaya anak-anak tidak rasa terbeban dengan masalah tersebut.

Ibu bapa juga seharusnya mengetahui dengan siapa anak-anak mereka berkawan dan cuba mengenali rakan-rakan anak-anak mereka supaya anak-anak mereka berkawan dan bergaul dengan mereka yang mempunyai kedudukan moral yang baik.

Selain itu, ibu bapa hendaklah menghabiskan sebahagian daripada masa seharian bersama anak-anak mereka dengan memberikan keyakinan, keberanian, mewujudkan sikap positif terhadap masalah, emosi dan keputusan. Selain itu tingkatkan penghayatan anak-anak terhadap nilai-nilai murni, agama, motivasi, melatih anak cara bersopan, tepati janji, berketerampilan, menunjukkan keperibadian yang mulia, amanah, sangup menerima kelemahan diri serta meneroka potensi anak-anak mereka.

Selain itu juga, ibu bapa perlulah menjadi “role model” supaya menjadi taulan atau ikutan kepada anak-anak mereka. Ibu bapa juga perlu menerapkan kasih sayang kepada anak-anak supaya mereka rasa dikasihi dan disayangi serta tidak diabaikan.

4.2 Pendekatan Akademik

Ini boleh dilakukan dengan menambahkan aktiviti-aktiviti berteraskan akademik dan separa akademik seperti kegiatan ko-kurikulum di sekolah-sekolah. Begitu juga dengan perubahan-perubahan teknik-teknik pengajaran untuk menambah atau menarik minat pelajar untuk mempelajarinya seperti penggunaan komputer, video, bantuan alat pandang dengar dan teknik pengajaran luar kelas.

4.3 Mewujudkan Sistem Perundangan

Mewujudkan sistem perundangan di sekolah. Peruntukan undang-undang di peringkat sekolah boleh menimbulkan rasa takut di kalangan pelajar-pelajar sekolah. Di samping dapat mengurangkan beban dan tanggungjawab pihak sekolah dan pihak ibu bapa dalam pengawasan disiplin pelajar-pelajar.

4.4 Penguatkuasaan Undang-undang

Penguatkuasaan undang-undang oleh pihak berkuasa seperti polis. Bidang kuasa polis sedia ada perlu digunakan oleh pihak pentadbir sekolah dalam mendisiplinkan pelajar-pelajar. Pihak pentadbir sekolah hendaklah mengambil kesempatan dengan merujuk masalah pelajar ini kepada pihak polis.

4.5 Kaunseling

Langkah-langkah pencegahan yang bersesuaian hendaklah diadakan seperti kaunseling di peringkat sekolah. Kaunseling diperingkat sekolah adalah penting dalam membantu remaja mengatasi masalah mereka. Program ini akan lebih bermakna sekiranya kaunselor-kaunselor yang berkelayakan dan berpengalaman dilantik dalam memantapkan pelaksanaan dan keberkesanan kaunseling tersebut.

4.6 Peranan Persatuan Ibu Bapa Dan Guru (PIBG)

Persatuan Ibu Bapa Dan Guru (PIBG) perlulah memainkan peranan yang penting dalam mengatasi masalah gejala sosial di kalangan remaja-remaja. Pertemuan yang lebih kerap antara ibu bapa, penjaga dan guru perlu diadakan khasnya bagi pelajar-pelajar yang bermasalah. Ibu bapa seharusnya menerima teguran daripada guru dengan sikap terbuka dan positif.

4.7 Makan Bersama

Makan bersama dapat mengeratkan silaturrahim sesama ahli keluarga. Walaupun makan bersama mungkin menjadi keutamaan pada sesetengah keluarga berbanding dengan yang lain, namun tahap kekerapan makan bersama telah menurun. Gejala-gejala sosial seperti kegagalan dalam sekolah hingga kerosakan akhlak yang timbul dikatakan berpunca daripada kurang makan bersama dalam keluarga.

Remaja yang dibiar makan diluar akan berjumpa dan lama-kelamaan gemar mencari kawan untuk bersama dan berbual kosong. Mereka bukan sahaja memenuhi masa bersama untuk berbual tetapi juga akan terlibat dengan permainan video, snuker, merokok, menonton video lucah dan mabuk.

Kepentingan makan bersama ialah ibu bapa akan dapat menentukan apa anak mereka makan dan berapa banyak yang mereka perlu makan. Kajian menunjukan kanak-kanak yang makan bersama di rumah, kebanyakannya tidak mengalami berat badan yang lebih berbanding mereka yang tidak.

Terdapat sepuluh kebaikan makan bersama, iaitu antaranya semua ahli keluarga makan makanan yang lebih sihat, kanak-kanak tidak mempunyai masalah berat badan atau obes, kanak-kanak kurang merokok, kanak-kanak akan kurang minum minuman ringan atau yang memabukkan, mereka akan kurang terlibat dengan dadah, pencapaian gred meningkat, perbualan ibu dan anak akan lebih kerap, perbincangan mengenai masalah akan terdengar, kanak-kanak akan merasa diberi perhatian dan dihargai dan stress serta ketegangan menjadi kurang di kalangan keluarga.

5.0 KESIMPULAN

Remaja menjadi liar kerana kurang atau tidak mendapat belaian ibu bapa dan tidak mempedulikan perkembangan anak-anak remaja mereka. Ketika kanak-kanak, ibu bapa akan menemani anak-anak mereka bersukan di sekolah rendah yang menjadikan suasana padang sukan lebih meriah tetapi keadaan tersebut tidak ketara di sekolah menengah. Merempit turut dikaitkan dengan keadaan keluarga yang tidak seimbang dari segi perkembangan mental, fizikal dan spiritual. Anak-anak muda yang mendapat motosikal tidak akan merempit dan memberi kesusahan kepada masyarakat sekiranya dia sedar apa yang patut dicari ketika usia muda ini. Tetapi dari mana kesedaran ini datang? Tentunya ibu bapa memainkan peranan yang besar dalam kes ini.

Pelbagai langkah boleh diambil dan dilaksanakan, tetapi apa yang lebih penting adalah ibu bapa mestilah memainkan peranan dan tanggungjawab dalam mengatasi masalah keruntuhan akhlak di kalangan remaja. Dengan kata lain, walau apapun langkah yang diambil oleh mana-mana pihak, tanpa kerjasama daripada ibu bapa, nescaya gejala ini sukar diatasi. Bak kata pepatah “melentur buluh, biarlah dari rebungnya”.

Rujukan

Rohana binti Embong & Sulaiman Zakaria (2009), Menangani Gejala Sosial (1-3). Kuala Lumpur: Cahaya Kesturi (M) Sdn Bhd.

Mohd Zahari (2005), Siri Pendidikan Sivik: Konflik Remaja & Kes Juvana. Kuala Lumpur: Penapro Sdn Bhd.

Rohana binti Embong (2008), Gejala Sosial Buku 1 – 4. Kuala Lumpur: Cahaya Kesturi (M) Sdn Bhd.

Hasnah Hussiin (2010), Remaja Islam Dalam Sebuah Negara Merdeka. Diterima Ogos 3, 2010, dari http://www.pemudaumno.org.my/modules.php? name=News&file=article&sid=6411

Nur Azman Yusuf (2010), Fakta Gejala Sosial. Diterima Ogos 2, 2010, dari http://www.scribd.com/doc/35172269/Fakta-Belia-Gejala-Sosial

Prof. Madya Dr. Harlina Halizah Siraj (2010, Februari 12). Isu Pembuangan dan Pembunuhan Bayi Perlu Pendekatan Holistik. Jemaah Islah Malaysia. Diterima Ogos 3, 2010, dari http://drhar.blogspot.com/ 2010/02/kenyataan-media-jim-mengenai-pembuangan.html

One thought on “Gejala sosial

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>